Seorang guru biasa yang berkelulusan dari Maktab yang biasa. Mengajar di sebuah sekolah biasa di dalam daerah yang biasa. Berasal dari negeri yang biasa dengan dibesarkan dari keluarga biasa. Menulis biasa-biasa untuk kegunaan biasa-biasa. Hidup dengan kehidupan yang biasa dan beradab dengan adab orang biasa.
Mengajar murid dari masyarakat Orang Asli merupakan amanah bagi aku, amanah itu akan aku galas sebaiknya. Aku mengajar Orang Asli suku Semai. Mereka ada budaya dan adat yang tersendiri. Kehidupan mereka yang jauh di dalam hutan dengan taraf hidup yang rendah buat aku kuat membantu mereka keluar dari kepopongan kehidupan yang sedia ada.
Mempunyai cita-cita yang cukup tinggi, menjadi seseorang yang boleh merubah lanskap dan konsep pendidikan dinegara ini. Boleh menyumbangkan sedaya mungkin ke arah kematangan dan kualiti pendidikan negara.
Ini namanya hati seorang guru. Beliau bukan siapa-siapa kepada anak ini. Hanya seorang guru kepada anak ini. Berketurunan india bukan menghalang kasih seorang guru kepada anak ini. Berwarganegara Amerika bukan penghalang buat hati itu terikat dengan anak-anak di negara ini. Inilah hati seorang guru. Bila sudah menjadi anak murid, mereka tetap anak sampai bila-bila.
Seorang guru di salah sebuah sekolah asli di Malaysia. Berkelulusan Ijazah Sarjana Pendidikan Sekolah Rendah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris Ijazah dan Sarjana Muda Pendidikan Pengajian Sosial dari Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan. Amat meminati mengkaji pendidikan murid asli agar dapat bersama-sama dengan tenaga pengajar di semua sekolah asli di seluruh dunia memajukan masyarakat istimewa ini. Pengalaman mengajar di SK Batu Tujuh (SKMOA), Tapah, selama 5 tahun (2012-2016) dan kini berkhidmat di SK Pos Musoh (SKMOA) bermula tahun 2017 hingga kini.
Keadilan membawa maksud Tindakkan atau keputusan yang tidak berat sebelah. Keadilan juga membawa maksud meletakkan sesuatu(hak) pada tempat...
penyelidikan Asas pendidikan
Untuk Guru
Kata orang.....
Kalau guru mengajar sambil duduk,
Murid belajar sambil mengantuk,
Kalau guru mengajar sambil berlakon,
Murid belajar dengan tekun,
Kalau guru mengajar tanpa alat,
Murid belajar dengan ralat,
Kalau guru mengajar banyak bercakap,
Ada murid tambah gagap,
Kalau guru pemudahcara,
Ramai murid pandai berbicara,
Kalau guru mengajar tanpa menilai,
Tak akan tahu murid lemah dan pandai,
Kalau guru tunggu diarah,
Semua kerja kena kerah,
Kalau guru kurang mengajar,
Dapatlah murid kurang ajar,
Kalau guru kurang merancang,
Di bilik darjah banyak temberang,
Kalau guru suka berdamping,
Semua murid dapat dibimbing,
Kalau guru berbudi bahasa,
Dikenang orang sepanjang masa.
KATA ORANG....
Berfikir sejenak, merenung masa lalu adalah permulaan yang baik untuk bertindak
Orang Tua Pesan
Orang yang bahagia adalah orang yang membahagiakan orang lain
16 Mei 2019 merupakan hari keramat untuk guru. Hari ini merupakan hari guru yang disambut di seluruh Malaysia. Selalunya Hari Guru merupakan hari yang mengembirakan guru-guru. Mana tidaknya, hari ini guru dirai dan dihargai oleh murid dan ibubapa. Tidak untuk kali ini, sambutan tahun ini diikuti dengan pengalaman yang tidak semua guru boleh merasainya. Perjalanan ke sekolah yang perlu melalui bukit bukau dengan cerun yang merbahaya menguji perjalanan setiap kali melaluinya. Bulan Mei tahun ini hujan lebat dan angin kuat beberap hari ini menyebabkan beberapa jalan ditengelami air. Walaupun ditelengami air, jalan itu masih boleh dilalui. Seronok rasanya bila dapat bermain air di pagi hari. Tetapi yang menguji kami apabila tiba waktu pulang, beberapa siri tanah runtuh berlaku dengan beberapa buah pokok tumbang menyekat perjalanan kami. Ini merupakan perkara biasa, tetapi yang menjadi ia sebagai kenangan adalah bila berlaku pada tarikh penting bagi seorang guru. Tidak menjadi keluh kesah kepada kami dengan tragedi ini, kerana sudah menjadi asam garam kehidupan guru di sekolah pedalaman. Walau bagaimanapun kami dapat laluinya seperti hari-hari biasa.
Hari ini 08.10.2016 adalah tarikh yang penting untuk negara ini. Program Hari Sukan Negara disambut serentak seluruh Malaysia untuk menjadikan sukan sebagai budaya kepada rakyat. Program ini amat penting kerana mengikut kajian yang dilakukan oleh WHO terhadap masalah obesiti di Asia Tenggara, mendapati Malaysia menduduki tangga pertama masalah obesiti dengan 44.5% berbanding negara-negara Asia Tenggara yang lain. Memberikan kesedaran berkenaan pentingnya aktiviti dan pemakanan yang sihat, akan membantu rakyat memahami cara dan membudayaan aktiviti yang sesuai.
Cikgu Joe pon tergolong dari 44.5% peratus itu, Alhamdulilah sejak beberapa bulan berat Cikgu Joe semakin kurang. Walaupun tidak banyak tetapi membantu mengurangkan resiko masalah-masalah kesihatan yang akan berlaku. Jadi, mari sama-sama kita menyahut seruan kerajaan ini.
Cikgu sediakan satu video perjalanan aktiviti di sekolah cikgu joe. Walaupun sekolah asli, tetapi sambutan juga tidak kurang meriad dengan sekolah yang lain.
Pendidikan Murid Orang Asli merupakan tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh guru-guru di pedalaman. Cabaran dan dugaan seorang guru di pedalaman dengan komuniti ini bukanlah sesuatu yang rahsia lagi. Guru-guru di Sekolah Murid Orang Asli (SKMOA) mengalas cabaran ini dengan penuh amanah untuk memasti kejayaan anak-anak ini. Beberapa tahun lepas Majalah 3 pernah membuat dokumentari berkenaan wira-wira ini....
5 Nov 2015 yang lalu berlangsung Kempen Cegah Kebakaran anjuran Kelab 3K dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Tapah, Perak. Kempen dimulakan dengan latihan kebakaran apabila penggera panjang dibunyikan tanpa henti menandakan berlaku kecemasan di kawan sekolah yang memerlukan seluruh warga sekolah bergerak dengan segera ke kawasan lapang yang telah ditetapkan. Kempen diteruskan dengan ceramah berkenaan kebakaran dan kecemasan diikuti dengan demonstrasi memadam kebakaran serta menghadapi kebakaran.
Beberapa isi penting dalam ceramah berkenaan.
1. Kereta yang kemalangan tidak akan meletup seperti yang berlaku dalam banyak filem-filem dalam dan luar negara. Apabila menghadapi kebakaran dalam sesuatu kemalangan, tindakan awal yang boleh dilakukan oleh orang awam adalah dengan menyelamatkan mangsa yang ada dalam kereta sebelum jentera bomba datang ke tempat kejadian. Beberapa kes yang berlaku apabila mangsa hangus terbakar adalah kerana kegagalan orang awam untuk memberi bantuan awal akibat daripada menyangkakan kereta itu akan meletup bila-bila masa.
2. Apabila berlaku kebakaran dan mangsa terperangkap, kebanyakkan mangsa akan lari mencari perlindungan di bilik air, ini adalah tindakan yang salah. Bilik air adalah tempat yang paling tidak selamat apabila berlaku kebakaran. Cara yang paling tepat adalah dengan merangkak keluar dari kawasan kebakaran. Apabila berlaku kebakaran kawasan yang paling panas adalah bahagian atas manakala bahagian bawah adalah lebih selamat untuk dilalui.
Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga Cikgu Joe muat naik semua video persembahan sempena Majlis Graduasi Kedap 2014 dan Hari Anugerah SK Batu Tujuh. Sepatutnya seminggu selepas majlis itu video-video ini di muat naik, tetapi disebabkan kekangan belajar di UPSI dan tugas di sekolah membataskan niat itu. Disebabkan video persembahan hari anugerah dan majlis graduasi hampir sama maka bagi menjimatkan masa maka hanya satu video setiap persembahan sahaja yang di muat naik.
Majlis Graduasi KEDAP kali ini berbeza dengan tahun sebelumnya yang di uruskan oleh Cikgu Joe. Majlis kali ini mengabungkan peserta KEDAP dari tiga buah sekolah iaitu SK Batu Tujuh, SK Batu 14 dan SK Pos Musoh LZ. Majlis ini berlangsung dengan sederhana tetapi cukup bermakna kerana menunjukkan hasil tujuan KEDAP di laksanakan. Ibu bapa sudah boleh membaca, menulis dan mengira. Satu program yang bermakna untuk merangsang ibubapa sama-sama belajar dan memberikan galakan kepada anak-anak mereka.
Alhamdulillah, semalam (4 DEC 2014) telah berlangsung majlis penyampaian hadiah pertandingan gambar kreatif 'Salute Malaysia' yang dianjurkan oleh Yayasan Perdana Ummah. Seramai 10 pemenang daripada lebih 6,000 penyertaan telah dipilih untuk menerima hadiah yang menarik.
Cikgu Joe juga salah seorang pemenangnya yang menerima telefon pintar Sony Xperia Z. Ini menjadikan kemenangan ketiga pada tahun ini yang sebelum ini hadiahnya berbentuk wang tunai, Bersyukur dengan rezeki yang diperolehi walaupun hajat sebelum majlis itu untuk memperolehi K zoom atau Hero Pro yang sesuai untuk aktiviti pengambaran video pembelajaran cikgu joe serta mengasah bakat pelakon cilik Cikgu Joe yang sering menjadi pelakon dalam video-video pendek Cikgu Joe.
Paling utama bagi pertandingan ini bukanlah hadiah tetapi bagaimana nilai 'salute' itu di interprestasikan melalui gambar kreatif. Salute mengambarkan keluhuran nilai setia, taat dan hormat setiap individu dalam negara ini kepada panji atau simbol negara. Salute bukan hanya terhad pada kerangka simbol negara seperti bendera atau pemimpin tetapi mereka yang membawa maruah dan nama negara. Individu seperti Dato' Jimmy Choo, Dato' Dr Asri Zainul Abidin,Dato Dr Afifi Al Akiti, Shila Amzah, Skuad Harimau Malaya, Harimau Muda dan banyak lagi yang layak diberikan salute kepada mereka yang hebat ini. Tidak lupa prajurit negara dan setiap individu dalam negara yang menyumbang kepada keharmonian dan kemajuan negara. Semoga perasaan cinta dan hormat ini tidak bermusim dan harap biarlah berpanjangan.
Semalam juga merupakan peristiwa yang tidak mampu Cikgu Joe lupa, ramai di sekolah tahu yang Cikgu Joe seorang yang kelam kelabut kelibut. Semasa selesai majlis itu dan jamuan yang diselesaikan, Cikgu Joe bergambar bersama Saudara Shahrul Nasrun, selepas itu Cikgu Joe bergegas untuk pergi ke Lowyat dan terus ke KL Sentral untuk pulang ke Tapah. Selepas sudah bergambar dengan Saudara Shahrul Nasrun, Cikgu Joe terus mencapai beg cikgu dan 'barangan' di atas meja dan keluar. Apabila keluar, Cikgu Joe berbual dengan Cikgu Amar yang menemani. Terasa berat bebanan yang Cikgu Joe bawak sedangkan Cikgu Amar berlenggang sahaja kerana barangan Cikgu Amar telah diletakkan di dalam beg Cikgu Joe. Cikgu Joe lihat di tangan kiri cikgu ada beg duit dan telefon yang bukan milik Cikgu Joe, dengan sepontan Cikgu Joe menyerga Cikgu Amar :-
"Amboi ang..... sampai handphone ngan beg duit ang pon ang nak suruh aku pegang. Ang amik ni..."
kemudian Cikgu Amar menjawab
"bukan barang aku, barang aku kat beg ang semua"
Barulah Cikgu Joe perasan yang itu milik Saudara Shahrul Nasrun, bergegas Cikgu Joe lari kedalam dan memulangkan semula kepada tuan milik barangan itu sehinga hilang 1 kilo berat cikgu joe. huuhuhuh.. Sorry bro Shahrul Nasrun, Cikgu Joe tak perasan. Di bawah ini ada liputan dari Buletin Utama TV3 untuk majlis ini.
bila manusia itu lahir di muka bumi ini… Kita dilahirkan dalam keadaan suci dengan fitrah manusia… Di dalamnya penuh dengan cita-cita, semangat dan kasih sayang. Tetapi mengapa tidak kita hari ini yang telah dewasa.. Mengapa nilai-nilai itu semakin hilang?
Saban tahun kita menyambut kemerdekaan negara ini. Setiap kali itulah kita akan bertanya pada diri, apakah makna kemerdekaan kepada diri sendiri? Adakah cinta itu hanya milik kita atau perlu dikongsi bersama?
Ikuti makna kemerdekaan dan cinta oleh Cikgu Amar, seorang guru dari suku Orang Asli Semai dalam memahami makna kemerdekaan.
Masa kita zaman sekolah dulu, tukang cover atau perisik kelas adalah orang yang penting bagi memastikan tiada siapa yang akan ter'kantoi' dengan guru kerana bermain atau bising semasa sesi pertukaran subjek. Selalunya tukang cover ini adalah terdiri daripada mereka yang duduk berhampiran dengan pintu dan tingkap kerana itulah tempat yang strategik untuk mematau. Hari ini Cikgu Joe lakonkan babak ini semula dengan murid-murid cikgu.
Alhamdulillah.... kali ini Cikgu Joe telah memenangi tempat kedua pertandingan Selfie ucapan kreatif semperna kemerdeaan. Cikgu Joe berjaya membawa pulang wang tunai RM 1,500.00. Murah rezeki Cikgu Joe tahun ini. Sudah tentu mereka yang banyak membantu Cikgu Joe adalah murid kelas 1 Dinamik yang bakat lakonan dan intepretasi watak yang cukup baik. Murid Asli ada bakat yang perlu kita cungki, semuanya bergantung pada tangan cikgu-cikgu semua. Kita pendidik bukan pengajar.
Alhamdulillah... baru-baru ni masuk pertandingan yang di anjurkan oleh Celcom Awesometeacher... Terpilih sebagai 10 pemenang yang setiap seorang akan menerima RM 5,000.00 sebagai hadiah kemenangan. Ini semua rezeki anak-anak... Ini video yang menang itu.. ^^
Nama-nama pemenang telah di umumkan secara rasmi di sini...
Biasannya dalam sesebuah kelas terdapat murid yang rajin dan selalu ingatkan kita sekiranya kita terlupa sesuatu hal yang dijanjikan mereka. Semasa di sekolah dulu, ada dikalangan rakan Cikgu Joe yang rajin seperti ini sehingga menimbulkan kemarahan sebab Cikgu Joe sendiri belum siap kerja yang dijanjikan (maklumlah dulu aktif sukan.hahha) Apabila kawan Cikgu Joe mula rajin-rajin ingatkan cikgu, reaksi muka kami selalunya jadi macam ini.....
Macam yang kita tahu, kerja guru bukan sahaja di bilik darjah tetapi juga di luar bilik darjah. Kedua-dua perlu dilaksanakan dengan baik menyebabkan guru perlu pandai membahagikan masa. Kalau waktu Cikgu Joe kecil dulu, bila cikgu ada kerja di luar bilik darjah, reaksi seperti ini sering berlaku....
Sememangnya murid-murid terlebih aktif akan menggunakan peluang ini untuk membuat aktiviti-aktiviti yang kreatif seperti main lawan pemadam, main titik-titik, main lawan spider dan macam-macam lagi. Bagi mengelakkan masalah ini berlaku, guru kelas akan lantik ketua kelas mahupun murid kepercayaan cikgu untuk menulis nama murid yang bising seperti ini.....
Semalam (15 jun 2014) merupakan sambutan hari bapa. Hari bapa tidak semeriah hari ibu kerana kurang mendapat sambutan. Mungkin kerana bapa-bapa di luar sana kebiasaannya mempunyai sikap yang garang seperti Cikgu Joe menyebabkan kurang diraikan.
Bila ditanya berkenaan ayah mereka. Sudah tentu jawapan jujur dengan perasaan tidak bersalah menitip di bibir anak-anak kecil ini. Kebanyakkan mereka hanya menggunakan istilah 'jahat' sebagai gambaran ayah mereka. Bila di tanya mengapa tanggapan ini dibuat, semua jawapan mereka hampir sama. Ayah mereka merotan mereka, ayah mereka memarahi mereka, ayah mereka garang. Oleh itu aktiviti pertama kali ini adalah untuk menceritakan sifat sebenar seorang lelaki bergelar ayah.
Bila diajukan soalan kepada kepada mereka berkenaan ayah mereka setelah menilai semula sifat ayah. Mereka memberi maklum balas dan kemudian satu kesimpulan diberikan.
"Ayah marah kami kerana tak mahu kami jadi jahat. Ayah sayang pada kita"
Ya, itu kesimpulan dari mereka dan Cikgu Joe perlu sambung lagi...
"Orang lelaki tidak akan tunjuk perasaannya, sebab dia tak mahu nampak lemah. bukan macam ibu yang akan menunjukkan setiap perasaannya kepada anak-anak mereka."
Tiba-tiba mata Cikgu Joe berkaca-kaca menahan air mata, sebab tiba-tiba fikiran ini berputar mengenangkan arwah abah. (Al-fatihah untuk abah). Perkataan 'jahat' juga yang dulu Cikgu Joe guna untuk arwah. Sebab dulu Cikgu Joe terlalu muda untuk berfikir sendiri. Sebab dulu cikgu cuma ajar, kita perlu hormti ibubapa kerana pengorbanan mereka. Tapi tak pernah diberitahu, mengapa ibubapa kita hanya tahu arah-arah dan terus marah-marah.
Hari ini Cikgu Joe nak bagi tahu yang dahulu cikgu-cikgu Cikgu Joe tak pernah memberitahu. Sebab apa ayah awak marah awak. Ayah awak memang garang atau perlu jadi garang untuk awak. Ayah awak sayang awak ke tidak. Bagaimana ayah awak menunjukkan kasih sayang pada awak. Sebab dia ayah awak... dan sampai bila-bila dia ayah awak.
P&P diteruskan dengan aktiviti kedua. Aktiviti yang tidak pernah Cikgu Joe lakukan kepada arwah abah Cikgu Joe. Sebuah kad tanda sayang awak kepada ayah awak. Luahkan segala perasaan awak melalui kad awak yang dipenuhi lukisan indah dan kamu perlu menghadiahkan kepada ayah kamu atau datuk kamu atau pakcik kamu bila pulang nanti.
Esok bermulanya cuti sekolah. Kalau dulu masa zaman muda remaja bila tiba cuti sekolah maka debaran terasa di hari terakhir sekolah. Sebab utamanya adalah mengharapkan tiada Cikgu-cikgu yang terlebih rajin yang beri kerja sekolah di waktu cuti. Bila ada sahaja guru yang berikan kerja rumah, mesti reaksi Cikgu Joe macam ini....
Hari ini Cikgu Joe berikan kerja sekolah sebanyak 180 soalan. Macam-macam reaksi yang diberinya. Nasib baik kita guru-guru ini ada belajar psikologi, jadi mudah lah nak mempengaruhi mereka dan rasional cikgu bagi kerja sekolah ini.
Di dalam sebuah kelas pengajian Ijazah Sarjana Cikgu Joe, Cikgu Joe membentangkan modul pengajaran yang Cikgu Joe bina untuk murid Orang Asli. Modul dibina atas pengalaman Cikgu Joe mengajar anak-anak istimewa ini. Perkataan "lemah" digunakan merujuk kepada prestasi anak-anak Cikgu Joe ini. Lemah bukan berarti bodoh, tapi kekurangan yang perlu diatasi. Sudah tentu apabila anak-anak ini lemah, maka sebagai guru satu kaedah atau pendekatan perlu dilaksanakan bagi memastikan mereka boleh menguasai isi kandungan yang dipelajari. Selesai pembentangan, beberapa modul lagi dibentang dan berlaku perbincangan terhadap modul-modul yang dibentangkan. Modul pembentangan berkenaan kaedah cepat belajar sifir menarik minat Cikgu Joe. Terdapat perdebatan dari segi kaedah 'hafal' dengan kaedah cepat belajar sifir yang menggunakan teknik kiraan untuk mereka belajar mengira sifir dan secara tidak langsung mereka belajar menghafal sifir. Berbeza dengan teknik hafalan yang hanya menghafal nombor semata-mata. Perdebatan timbul bila seorang pelajar master yang merasakan kaedah cepat belajar sifir ini tidak bagus kerana kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, apabila dua sampel kumpulan murid secara rawak dibuat dengan satu kumpulan menggunakan kaedah hafalan dan satu kumpulan lagi menggunakan kaedah seumpama 'kaedah cepat belajar sifir ' ini mendapati murid yang menggunakan kaedah hafalan mencatatkan keputusan yang baik dengan masa yang cepat menyelesaikan soalan berbanding kumpulan yang satu lagi. Ini menyebabkan pelajar itu membuat kesimpulan 'kaedah cepat belajar sifir ' tidak bagus untuk dilaksanakan.
Hujah pelajar itu Cikgu Joe teliti kerana pelajar itu mungkin terlepas beberapa isi penting yang disampaikan oleh pembentang tadi kerana pada awal pembentangan, istilah murid lemah atau murid istimewa telah digunakan oleh pembentang untuk menjadi sebab kaedah ini dipilih. Bila 'lemah atau 'istimewa' ini digunakan, sudah tentu mereka akan cenderung mudah lupa, tidak dapat memahami konsep, dan lain-lain lagi. Sudah tentu bila murid itu mudah lupa kaedah 'hafal' adalah sesuatu yang mustahil atau tidak sesuai. Hujah pelajar itu dipatahkan pembentang. Cikgu Joe yang terasa terpanggil untuk berkongsi pengalaman kerana Cikgu Joe ada pengalaman mengajar di Sekolah Murid Orang Asli yang teramai di Malaysia. Murid-murid di Cikgu Joe adalah lemah(kebanyakkannya) dan Cikgu Joe merasakan kaedah yang dibentangkan ini sesuatu yang bagus dan rasannya anak-anak Cikgu Joe boleh melaksanakan. Lebih-lebih lagi ini tidak langsung membantu mereka menghafal. Cikgu Joe analogikan sebagai dua buah kereta iaitu Farrari (hafalan) dan kancil(kaedah cepat belajar sifir ) yang hendak menuju ke destinasi yang sama. Apabila kita mampu(pandai) sudah tentu kita boleh memiliki Ferrari(hafal) yang laju dan cepat sampai ke destinasi. Jika kita tidak mampu (lemah) maka kancil(kaedah cepat belajar sifir ) itu sudah cukup dan boleh digunakan untuk sampai ke destinasi yang sama. Mungkin perkataan 'murid Orang Asli Lemah' menyebabkan Profesor kuliah Cikgu Joe itu menyatakan kita perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan 'murid Orang Asli Lemah' kerana itu satu persepsi yang boleh menguris hati Orang Asli (Cikgu Joe menterjemahkan dialog Prof dengan apa yang Cikgu Joe faham kerana kata-katanya terlalu panjang untuk dinukilkan). Beliau mengambil contoh seperti bagaimana Orang Putih mengelar orang-orang india itu dengan persepsi yang negetif melalui tulisan-tulisan penjajah yang masih tersimpan di perpustakaan universiti terkemuka dunia sedangkan seperti yang kita tahu india antara orang-orang yang hebat dan pandai juga. Bagitulah yang hendak beliau kaitkan dengan penggunaan istilah 'murid Orang Asli Lemah'.
Cikgu Joe rasa mungkin beliau ada silap faham terhadap kenyataan Cikgu Joe. Cikgu Joe bangkit membetulkan kekeliruan ini. Bagi Cikgu Joe, bila kita mengatakan murid sekolah saya lemah dan kaedah ini sesuai, bukan merujuk kepada keseluruhan murid tetapi fokusnya adalah murid-murid yang mengalami masalah untuk mendapatkan pembelajaran dalam kelas serta perlu di atasi. Bila Cikgu Joe mengatakan 'murid Orang Asli lemah dan perlu menggunakan kaedah yang berbeza' itu juga bukan bermakna kita menghinanya, tetapi sebagai isyarat kepada guru-guru bahawa guru-guru perlu kreatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya hasil pembelajaran tercapai dan murid tidak terkapai-kapai. Beliau melanjutkan pandangannya bahawa teori pembelajaran, semua murid atau anak-anak itu sama dalam memperolehi ilmu (melainkan mereka yang berkeperluan khas), jadi tiada sebab untuk kita mengatakan mereka lemah. Itu Cikgu Joe setuju tetapi dari perbincangan dengan Dr Ramlah bt Jantan, murid Orang Asli ini boleh diketegorikan sebagai murid berkeperluan khas kerana kebanyakkan 'mereka lambat untuk mengingat dan cepat lupa' dan kajian yang dilakukan UPM baru-baru ini yang mengambil sampel najis murid-murid sekolah Cikgu Joe bagi mengkaji pemakanan dan kesanya terhadap murid. Melalui pengalaman Cikgu Joe sendiri memang mengalami kesukar untuk mengajar mereka. Cikgu-cikgu di sekolah asli memerlukan kerja 200% untuk anak-anak ini. Cikgu Joe mengambil masa dua bulan lebih untuk memastikan mereka menguasai topik tambah sahaja, dan hasilnya atas usaha Cikgu Joe yang 200% membuatkan Cikgu Joe bahagia dengan pencapaian mereka(rujuk gambar di bawah)
Ye.. Betul kata Prof yang semua murid atau anak-anak itu sama dalam memperolehi ilmu tetapi istilah 'lemah' itu sahaja yang Cikgu Joe pertahankan. Disebabkan 'lemah' lah Cikgu Joe berusaha menggunakan pelbagai pendekatan hampir dua bulan lebih untuk memastikan mereka ini dapat sama dengan murid-murid sekolah lain. Bila guru berbincang dan istilah lemah ini digunakan, ini bukan berarti guru menghina anak murid tetapi perbincangan dan perkongsian ilmu dikalangan guru dalam memastikan anak-anak ini berjaya. Banyak faktor yang menyebabkan anak-anak ini lemah antaranya disebabkan demografi(kawasan tempat tinggal), latar belakang pendidikan ibubapa, pemakanan, sikap, kaedah pengajaran guru dan banyak lagi. Bila kita tahu faktor-faktor ini menyebabkan mereka lemah, peranan guru hanya sebagai guru dan bidang kuasa guru bagi memastikan masalah ini dapat diselesaikan. Sudah tentu proses PdP adalah senjata guru bagi merungkai kemelut ini. Ada rakan sekuliah Cikgu Joe yang berkongsi pengalaman rakan gurunya yang mengajar orang asli. Katanya faktor bahasa adalah penyumbang kepada masalah pembelajaran ini. Guru perlu menguasai bahasa mereka untuk anak-anak ini memahami pengajaran ini. Ya, Cikgu Joe setuju. Cikgu Joe teringat kata-kata pensyarah Cikgu Joe semasa di IPG. Waktu beliau melontarkan pandangan kepada Timbalan Menteri Pelajaran ketika itu Almarhum Dato Razali Ismail, katanya
"kalau kita nak mengajar murid asli, kita perlu mengusai bahasa mereka supaya mereka memahami pengajaran yang hendak kita sampaikan. Bagitu juga PPSMI, Jika kita hendak mengajar Matematik dan Sains pada anak-anak di sekolah kita perlu menggunakan bahasa yang mereka faham iaitu Bahasa Melayu"
Bahasa itu penting dan di sekolah Cikgu Joe, bahasa bukanlah masalah kerana mereka amat menguasai Bahasa Melayu jika ada pon hanya seorang dua yang tidak memahami dan Cikgu Joe ada kaedah bagi mereka ini. Melihat Prof yang tetap dengan pandangannya maka Cikgu Joe angguk bersetuju dengan pandangannya akhirnya Cikgu Joe membuat kesimpulan sebenarnya masalahnya bukan pada teori atau praktikal tetapi pada istilah yang perlu kita berhati-hati. Dengan menghormati kesarjanaan Prof yang mengajar Cikgu Joe, kita sebagai guru tidak perlu memberi persepsi kepada murid tetapi menjadikan aspriasi bagi memajukan anak-anak kita ini. Guru Pencetus Kretiviti, Penjana Inovasi.
Teori dan Praktikal...
Orang boleh berkata apa teori yang mereka mahu.
Tapi mereka tidak tentu dapat praktikan teori itu...
orang yang mendapat ilmu dari bacaan berbeza
dengan orang yang mendapat ilmu dengan pengalaman
tetapi orang yang mendapat ilmu dari bacaan dan mendapatkan pengalaman untuk membandingkan bacaan mampu melihat realiti dan praktiknya.